Peniaga Azura Mohamad (kiri) melayan pelanggan yang berkunjung ke kedainya di Pasar Moden Seksyen 6, Shah Alam pada 2 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA tanggung kos selenggara Pasar Moden Seksyen 6 RM20,000 sebulan

SHAH ALAM, 27 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membelanjakan RM20,000 sebulan bagi menampung kos penyelenggaraan Pasar Moden Seksyen 6, di sini demi keselesaan pengguna.

Susulan itu, Datuk Bandar Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata pihaknya mencadangkan untuk menaikkan kadar sewaan bagi menambah baik aspek tanggungan pengurusan dan penyelenggaraan pasar berkenaan.

“Berdasarkan kajian tahun lalu, hasil yang kita belanjakan lebih banyak berbanding dengan kadar sewaan diperoleh. Purata subsidi ditanggung MBSA adalah sebanyak RM20,000 sebulan.

“Semalam kita adakan sesi libat urus bersama 93 peniaga dan mencadangkan untuk menaikkan kadar sewaan baharu sebanyak 60 peratus,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh.

Mohd Fauzi bagaimanapun berkata terdapat bantahan daripada peniaga. Justeru, pihaknya akan mengkaji cadangan peniaga yang mahu kadar kenaikan dikurangkan sedikit.

“Kadar kenaikan ini pun sudah lama tidak dikaji dan sebenarnya cadangan 60 peratus ini tidak mendatangkan keuntungan kepada kami tetapi ia lebih kepada pulangan modal.

“Saya akan pastikan peniaga mendapat perkhidmatan dan ruang niaga yang terbaik demi keselesaan pengunjung melalui penyediaan kemudahan infrastruktur dan pembangunan berkualiti,” katanya.


Pengarang :