Lebih 100 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi bersepadu di Little India, Brickfields pada 1 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: 68,900 warga asing serah diri dihantar pulang ke negara asal

SHAH ALAM, 26 JUN: Seramai 20,207 warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah dihantar pulang ke negara masing-masing dari Januari hingga bulan ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia susulan 7,975 operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia di 244 kawasan didiami kumpulan berkenaan.

“Kita periksa 76,477 warga asing dan daripada jumlah itu yang tiada dokumen langsung seramai 20,207. Kita bawa ke depot imigresen dan kita hubungi kedutaan dan hantar balik (negara asal).

“Kita juga tahan majikan mereka. Mereka tidak akan masuk (Malaysia) kalau majikan tidak gajikan mereka. Seramai 456 majikan juga telah kita tahan,’ katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Saifuddin berkata menerusi pelaksanaan program Penghantaran Pulang Pati Secara Sukarela, seramai 68,900 daripada 79,231 warga asing yang menyerah diri telah dihantar pulang ke negara asal.

Jelasnya sebelum dihantar pulang, warga asing terbabit perlu membayar kompaun dan usaha tersebut perlu dilakukan secara berterusan.

“Kita kutip kompaun hampir RM40,000 dan empat negara yang paling ramai menyerahkan diri adalah Indonesia, Bangladesh, India dan Pakistan,” katanya.


Pengarang :