Orang ramai memakai pelitup muka bagi mencegah penularan Covid-19 ketika membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada 10 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Rakyat kini hidup bersama virus Covid-19, kembali kepada normal

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Rakyat kini berada di fasa hidup bersama virus Covid-19 dan dalam peralihan ke arah meneruskan kehidupan seperti biasa, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata keputusan itu dibuat ketika mesyuarat pasca-Kabinet peringkat Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini.

“Dalam mesyuarat pasca-Kabinet KKM, kita buat keputusan bahawa kita sekarang ini hidup bersama virus, kita ambil sikap untuk memulakan fasa ini sama seperti virus lain seperti influenza dan chikugunya.

“Maknanya kita kini kembali kepada normal, kalau ada berlaku apa-apa KKM sentiasa memantau. Dalam persiapan untuk masa hadapan kita sentiasa bersedia kembali bertindak, buat masa ini kita kembali kepada normal… komunikasi akan dibuat dari semasa ke semasa andai berlaku kes,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 Peringkat Kebangsaan, sempena sambutan Hari Denggi Asean 2024 di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Setia Wira di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata rakyat perlu sentiasa peka terhadap perkembangan terkini Covid-19 dengan melayari data.moh.gov.my, bagi membolehkan mereka memantau status penularan wabak berkenaan dalam negara.

“Apa yang nak saya sebutkan kita kembali kepada normal, kalau bergejala pergi jumpa doktor untuk konsultasi dan rawatan, kalau di kawasan khalayak ramai sentiasa menjaga yang lain dengan memakai pelitup muka anda,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :