Pemandangan pada waktu malam Masjidil Haram sempena musim haji 1445H/2024 dirakam dari Menara Jam Diraja Mekah atau nama popular “Menara Abraj Al-Bait” pada 11 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Tiga lagi kematian jemaah haji Malaysia di Tanah Suci

MAKKAH, 17 JUN: Tiga lagi kematian melibatkan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci direkodkan berlaku menjadikan jumlah setakat ini lapan orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Na’aim Mokhtar berkata kematian yang terbaharu iaitu yang kelapan, melibatkan jemaah haji wanita Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang meninggal dunia 4.30 petang Sabtu lalu, ketika berjalan kaki pulang ke hotel.

“Allahyarham Sabina Jalil, 66 tahun dari Sungai Buloh, Selangor, menunaikan haji bersama seorang kawan, meninggal dunia disebabkan serangan jantung,” katanya kepada petugas media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Rawatan TH di Mina malam, semalam.

Jemaah yang keenam dan ketujuh yang meninggal dunia pula ialah Baharuddin Mohd Shood, 75 dari Jengka, Pahang dan Abd Manaf Hanapiah, 65, dari Alor Setar, Kedah, yang masing-masing meninggal dunia pada 11 Jun dan 13 Jun.

Allahyarham Baharuddin meninggal dunia disebabkan kanser usus di Pusat Rawatan TH Makkah, manakala Allahyarham Abd Manaf pula disebabkan serangan sakit jantung semasa mendapatkan rawatan di Makkah Medical Center.

Sementara itu Mohd Nai’im berkata pesakit yang sedang dirawat di Pusat Rawatan di Makkah merupakan mereka yang terlibat dengan Program Safari Wukuf pada Sabtu lalu dibawa ke padang Arafah oleh petugas TH menggunakan bas diubah suai.

Kebanyakan mereka katanya mengalami masalah jantung selain masalah kesihatan akibat masalah pernafasan.

Pusat Rawatan TH di Makkah yang menyediakan 187 katil dilengkapi peralatan perubatan serta perkhidmatan sinar-X, selain wad kecemasan, perkhidmatan pergigian dan makmal.

Turut disediakan 17 ambulans yang memberi perkhidmatan kepada 12 bangunan penginapan jemaah haji Malaysia di sini.

– BERNAMA


Pengarang :