AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

MFL batal potong tiga mata, penonton boleh hadir lawan JDT

SHAH ALAM, 27 JUN: Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengambil keputusan membatalkan pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 membabitkan Selangor FC.

Dalam kenyataan menerusi Facebook petang ini, MFL berkata Ahli Lembaga Pengarah menggunakan budi bicara untuk mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

MFL turut membatalkan larangan kehadiran penonton ke perlawanan Liga Super melibatkan Selangor FC dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Selain itu denda terhadap Selangor FC dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000.

Bagaimanapun bayaran pampasan kerugian yang perlu dibayar kepada pasukan JDT dan MFL susulan ketidakhadiran Selangor dalam perlawanan Piala Sumbangsih dikekalkan tetapi jumlahnya belum ditetapkan.

“Bagaimanapun, jika Selangor FC mengulangi kesalahan sama, kes ini akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman lebih tegas dan keras boleh dikenakan,” menurut kenyataan itu lagi.

MFL sebelum ini memaklumkan skuad Gergasi Merah didenda susulan tidak beraksi pada Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.

Atas kesalahan itu, Selangor FC didenda RM100,000, bayaran pampasan kerugian JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super.

Semalam Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj murka terhadap MFL yang menghukum Selangor FC secara berlebihan.

Menyifatkannya tidak masuk akal, Baginda menganggap keputusan tersebut dibuat tanpa ihsan, tidak bertanggungjawab, tidak berperikemanusiaan dan tidak prihatin terhadap kezaliman.

Baginda juga kesal Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia Dato’ Hamidin Mohd Amin yang tidak bersuara sedangkan pernah menjadi setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Selangor antara 1995 hingga 2013.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hukuman yang dikenakan MFL mengundang kemarahan dan kekecewaan penyokong pasukan Selangor.

Beberapa wakil rakyat negeri turut bersedia menyumbang separuh gaji mereka bulan depan untuk membantu Selangor FC.

 

 


Pengarang :