Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Shahman Jalaluddin (kanan) ketika Mesyuarat Majlis MPS di Menara MPS pada 26 Jun 2024. Foto Fitri Hazim Hazam/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPS catat kutipan cukai taksiran lebih RM54 juta takat 31 Mei

GOMBAK, 26 JUN: Jumlah kutipan cukai taksiran semasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) setakat 31 Mei lalu adalah RM54.11 juta.

Yang dipertuanya berkata MPS turut mencatat kutipan tunggakan cukai taksiran RM5.25 juta dalam tempoh sama.

“Kutipan cukai taksiran semasa meliputi 92.49 peratus daripada RM58.5 juta manakala tunggakan pula 49.13 peratus dikutip dari jumlah keseluruhan  RM10.68 juta,” katanya pada mesyuarat bulanan di Menara MPS, di sini hari ini.

Shahman Jalaluddin menambah MPS memproses waran tahanan sejak 15 April lalu bagi pemilik yang mempunyai tunggakan RM200 dan ke atas.

“Waran merupakan tamat notis (Borang E) yang dikenakan RM100 bagi mereka yang mempunyai tunggakan.

“Sehingga 31 Mei, 25,598 waran telah diproses dan 18,786 telah dihantar,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan MPS turut mengutip kutipan hasil berjumlah RM568,111.07 pada Mei lalu melalui portal MYMPS.

“Kutipan terbanyak hasil dari sewaan kedai RM287,515 diikuti lesen perniagaan (RM161,716.47), kompaun (RM58,040), permit bangunan dan perancang (RM47,642) serta cagaran (RM5,880).

“MPS telah menaik taraf portal untuk kemudahan peniaga memperbaharui dan membuat bayaran lesen perniagaan, sewaan gerai, permit bangunan, kompaun dan cagaran melalui aplikasi dalam talian,” jelasnya.


Pengarang :