Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Shahman Jalaludin pada majlis mengangkat sumpah terima jawatan di Bilik Siantan Menara Majlis Perbandaran Selayang, Selayang pada 05 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPS tumpu selesai isu sampah, lampu jalan tempoh 100 hari

GOMBAK, 5 JUN:  Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyasarkan untuk menyelesaikan isu sampah, jalan tidak rata dan keadaan lampu jalan dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya.

Shahman Jalaluddin berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menfokuskan isu berbangkit berkaitan infrastruktur tersebut selain meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat melalui digitalisasi.

“Perkara ini antara keutamaan saya. Selain itu kita melaksanakan beberapa perancangan jangka pendek dan panjang yang akan membabitkan pengurusan tertinggi MPS dan ahli majlis.

“Ini merupakan keutamaan dalam 100 hari pentadbiran, saya akan fokus kepada kawasan kritikal. Insya-Allah, MPS akan mengatasi isu yang berbangkit sekaligus mengurangkan jumlah aduan yang diterima,” katanya.

Beliau berkata MPS akan mempergiatkan usaha mendidik masyarakat untuk menggunakan aplikasi atas talian yang disediakan pihak berkuasa tempatan itu.

“Pelbagai penawaran perkhidmatan dalam talian dilaksanakan MPS seperti portal MyMPS, aplikasi e-Lesen dan bil digital cukai taksiran.

“Sehingga 31 Mei 2024, portal MyMPS merekodkan 151,713 pengguna dengan jumlah transaksi sebanyak RM132 juta. Hasrat saya mengekalkan momentum yang membanggakan ini,” katanya.

 


Pengarang :