AGENDANASIONAL

Murid maut dilanggar van sekolah di depan rumah

JOHOR BAHRU, 19 JUN: Seorang murid prasekolah maut selepas dilanggar van sekolah dinaikinya di Jalan Suria, Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata kejadian melibatkan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu berlaku pada 11.35 pagi.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu van wanita berusia 50 tahun menurunkan kanak-kanak itu dan abangnya yang berusia enam tahun di hadapan rumah mereka.

“Pemandu van itu meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa (berjalan) melepasi belakang van dan beranggapan mangsa turut mengikuti abangnya.

“Pemandu itu telah terlanggar mangsa yang lalu di hadapan van tanpa disedari. Pemandu itu kemudian turun melihat keadaan mangsa dan memaklumkan kepada ibu mangsa dengan segera,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kanak-kanak itu yang cedera parah dibawa ke Klinik Kesihatan Masai oleh ibunya dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Mohd Sohaimi berkata pemandu berkenaan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :