EXCO Pembangunan Wanita Anfal Saari (tengah) beramah mesra bersama peserta pada program kesedaran undang-undang pemilikan harta/rumah di De Palma Resort Kuala Selangor pada 29 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri hasrat sedia kuota khas beli rumah kepada wanita

KUALA SELANGOR, 29 JUN: Kerajaan Negeri berhasrat menyediakan kuota khas kepada wanita dalam usaha membantu golongan itu memiliki kediaman sendiri.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata usaha itu akan dilakukan selepas pelaksanaan kaji selidik berkaitan usaha pemilikan rumah oleh wanita.

Menurutnya kaji selidik tersebut sedang dilaksana menerusi usaha sama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Wanita Berdaya Selangor (WBS).

“Ia (cadangan kuota khas) pernah dibangkitkan sebelum ini di sidang dewan negeri, khususnya berkaitan kuota khas pemilikan rumah kepada ibu tunggal, golongan kurang upaya dan warga emas.

“Kita ada skim rumah mampu milik seperti Rumah Selangoku dan sebagainya. Saya percaya polisi perumahan ini boleh diberi juga kuota khas kepada golongan terbabit,” katanya pada sidang media.

Terdahulu beliau menyempurnakan program kesedaran undang-undang pemilikan harta dan rumah anjuran LPHS dan WBS di De Palma Resort di sini, hari ini.

Anfaal menjelaskan data berhubung pemilikan hartanah oleh wanita tidak pernah ada sebelum ini dan hasilnya bakal disusuli dengan polisi pemilikan rumah kepada golongan berkenaan.

Katanya kaji selidik terbabit akan dibuat terhadap 1,000 responden melibatkan tiga zon di Selangor selain dijangka selesai pada akhir Julai depan.

“Polisi ini bukan diskriminasi tetapi bagaimana ia memberi keadilan sosial kepada semua pihak yang memerlukan kerana keperluan setiap orang tidak sama,” katanya.

 


Pengarang :