AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Negeri lancar tabung solidariti, peluang penyokong bantu Selangor FC

SHAH ALAM, 26 JUN: Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) melancar Tabung Solidariti Bersama Selangor FC mulai malam ini sehingga 2 Julai.

EXCO Sukan berkata inisiatif itu diambil susulan keputusan tidak adil yang dijatuhkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada Gergasi Merah semalam.

Menurut Najwan Halimi, peminat sukan bola sepak merentasi batas kenegerian boleh menzahirkan dukungan kepada Selangor FC dengan sumbangan kecil RM1 kepada tabung berkenaan.

EXCO Sukan Najwan Halimi ketika majlis penyerahan sumbangan MBI kepada Persatuan Memanah Selangor dan Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) di Bangunan Darul Ehsan pada 24 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Hasil dari sumbangan ini akan diserahkan kepada Selangor FC bagi membantu mereka memperjuangkan keadilan sehingga ke peringkat tertinggi terhadap hukuman melampau yang telah dijatuhkan oleh MFL.

“Semoga inisiatif ini dapat menggerakkan penyertaan semua pihak yang berkongsi citra dan aspirasi untuk mengembalikan semula sukan bola sepak sebagai sukan yang memupuk keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau menambah, mereka yang berhasrat untuk menyumbang boleh berbuat demikian dengan mengimbas kod QR di poster.

Semalam, MFL memaklumkan skuad Gergasi Merah didenda susulan tidak beraksi pada Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei lalu.

Atas kesalahan itu, Selangor FC didenda RM100,000, bayaran pampasan kerugian JDT dan MFL selain pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super.

Hari ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj murka terhadap MFL yang menghukum Selangor FC secara berlebihan.

Menyifatkannya tidak masuk akal, Baginda menganggap keputusan tersebut dibuat tanpa ihsan, tidak bertanggungjawab, tidak berperikemanusiaan dan tidak prihatin terhadap kezaliman.

Baginda juga kesal Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia Dato’ Hamidin Mohd Amin yang tidak bersuara sedangkan pernah menjadi setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Selangor antara 1995 hingga 2013.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hukuman yang dikenakan MFL mengundang kemarahan dan kekecewaan penyokong pasukan Selangor.

Beberapa wakil rakyat negeri turut bersedia menyumbang separuh gaji mereka bulan depan untuk membantu Selangor FC.

 


Pengarang :