Anggota penguat kuasa ketika menjalankan operasi perobohan Kampung Sri Makmur, Gombak pada 27 Mei 2024. Foto Pentadbir Tanah Gombak
AGENDANASIONAL

Operasi roboh ikut SOP, ayat suci al-Quran dialih penguat kuasa

SHAH ALAM, 1 JUN: Operasi perobohan penempatan setinggan di Kampung Sri Makmur, Gombak dipantau oleh pegawai bertugas dan dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

Menurut Pentadbir Tanah Gombak naskhah al-Quran dan bahan yang mengandungi ayat suci al-Quran pula dialihkan ke tempat selamat oleh anggota penguat kuasa sebelum operasi.

Tindakan itu bagi mengelak kerugian kepada pemilik selain memelihara kehormatan kitab suci al-Quran.

“Anggota penguat kuasa yang bertugas sentiasa mengikut SOP kerja dan dipantau oleh pegawai bertugas untuk memastikan keseluruhan struktur terlibat termasuk surau dikosongkan sepenuhnya.

“Pihak pemaju juga telah melantik pekerja-pekerja yang memakai ves keselamatan untuk membantu memindahkan baki barangan di dalam struktur terlibat,” menurut kenyataan.

Jelas pejabat itu, tindakan pengusiran dan perobohan pada 27 hingga 28 Mei dilaksanakan mengikut perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang dikeluarkan pada 14 Mei 2024.

Tambah kenyataan itu lagi, sepanjang operasi, provokasi serta halangan dapat di kawal dengan baik.

“Pentadbiran ini menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai dakwaan palsu seperti yang telah tular dan disensasikan oleh pihak tidak bertanggungjawab baru-baru ini,” kata kenyataan.

 

 


Pengarang :