AGENDAJENAYAH

Padah rompak pemandu e-panggilan, warga asing ditahan

SIBU, 3 JUN: Lelaki warga asing ditahan di Jalan Ling Kai Cheng di sini semalam, disyaki terlibat dengan kes rompakan bersenjata pemandu e-hailing wanita di bandar ini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata suspek warga Indonesia berumur 18 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pada 1.30 tengah hari.

“Suspek disyaki terlibat melakukan rompakan dengan senjata terhadap wanita berusia 55 tahun yang merupakan pemandu e-hailing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkipli berkata kejadian rompakan itu berlaku ketika mangsa mengambil suspek di Jalan Teku – Jalan Pasai Siong di sini, untuk dihantar ke sebuah lokasi berhampiran kira-kira 4.30 pagi, 30 Mei lalu.

“Selepas memasuki kereta, suspek secara tiba-tiba mengacukan pisau ke leher mangsa, namun wanita itu berjaya melepaskan diri dan berlari keluar meninggalkan keretanya,” katanya dan menambah suspek kemudian bertindak melarikan kereta serta barang berharga milik mangsa.

Zulkipli berkata mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan keretanya ditemukan mengalami kemalangan tidak jauh dari lokasi kejadian.

Beliau berkata polis memperoleh perintah mahkamah untuk reman suspek hingga 17 Jun ini untuk siasatan di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dengan senjata sehingga menyebabkan kecederaan.

– BERNAMA


Pengarang :