Orang ramai mendapatkan penyata akaun di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Cawangan Shah Alam, Seksyen 15 pada 7 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pakar: Duit KWSP habis akibat langsai hutang, ubah suai rumah

SHAH ALAM, 5 JUN: Melangsaikan hutang bank dan mengubah suai rumah antara punca simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bersara habis dalam tempoh singkat.

Pakar kewangan pengguna mendedahkan faktor lain termasuk menjadi ‘bank tanpa faedah’ untuk anak-anak, menanggung kenduri mereka dan membuat pelaburan tidak sah, lapor Sinar Harian.

Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri menjelaskan ramai pencarum juga terpaksa menggunakan simpanan untuk menampung kos perubatan berikutan tiada perlindungan takaful.

“Kebanyakan mereka menggunakan wang KWSP untuk menyelesaikan pelbagai hutang seperti rumah, kenderaan dan pinjaman peribadi. Namun, ada juga membelanjakan kepada perkara tidak penting.

“Akhirnya, duit yang sepatutnya digunakan untuk menjalani kehidupan lebih baik dan selesa dalam tempoh persaraan menjadi sebaliknya,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Mohamad Fazli menambah risiko pencarum jatuh miskin pada usia tua akibat tiada tabung kewangan mencukupi lama diperkatakan, namun ramai kurang cakna berhubung perkara itu.

“Keadaan ini turut mendorong sesetengah mereka terlibat dengan skim pelaburan tidak sah. Bukan sahaja tidak dapat untung, malah ada yang rugi,” katanya.

Semalam, tinjauan KWSP mendedahkan sekitar 21.6 peratus individu lebih 60 tahun mahu terus bekerja sehingga kesihatan tidak mengizinkan untuk membiayai keperluan persaraan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata data KWSP juga menunjukkan satu daripada empat pencarum habis simpanan tersebut dalam tempoh lima tahun selepas pengeluaran.

 

 


Pengarang :