Penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) memantau fenomena air pasang besar di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang pada 30 September 2023. Foto Facebook MPK
ADNSELANGOR

Pantau kawasan risiko banjir, salur bantuan segera

SHAH ALAM, 7 JUN: Kawasan banjir sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang sentiasa dipantau bagi memastikan bantuan segera disalurkan kepada penduduk jika bencana itu melanda.

Wakil rakyatnya Azmizam Zaman Huri berkata dari 4 Jun hingga semalam pihaknya tidak menerima laporan banjir kilat susulan fenomena air pasang besar yang diramal berlaku di stesen Pelabuhan Klang.

Azmizam menjelaskan antara kawasan tumpuan ialah di Kampung Telok Gong, Kampung Pulau Indah, Taman Teluk Gedung Indah, Taman Selat Selatan, Taman Selat Damai dan sebahagian Pandamaran Jaya kerana majoriti berdekatan laut.

“Ini antara kawasan tepi laut dan kebarangkalian untuk banjir jika air pasang besar tinggi, lebih-lebih lagi jika bertembung dengan hujan lebat.

ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri bercakap kepada media selepas meninjau program jelajah Jualan Ehsan Rakyat di Masjid Ar-Raudhah, Kampung Sungai Kembong, Klang pada 11 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ketika air pasang besar pintu kunci air ditutup bagi mengelak air laut melimpah ke darat. Jadi jika hujan terlalu lebat dan air tidak boleh mengalir ke laut risiko banjir tinggi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata penduduk juga dinasihat memantau saliran dan longkang sekitar kediaman masing-masing bagi memastikan tiada halangan air yang boleh menyebabkan risiko banjir.

“Mereka yang membuat pengubahsuaian rumah juga perlu memastikan sisa binaan terutama pasir dibuang ke tempat betul kerana ia juga boleh menyebabkan longkang tersumbat.

“Penduduk juga dinasihat membuang sampah di tempat betul bagi menjaga kelancaran saliran air,” katanya.

Sebelum ini, Pusat Hidrografi Nasional memaklumkan fenomena air pasang besar boleh menyebabkan limpahan air di kawasan daratan dan kemungkinan banjir.

Penduduk berhampiran kawasan pesisir pantai disaran lebih cakna dan berwaspada berdepan fenomena itu dan sentiasa memantau keadaan cuaca semasa serta merujuk agensi berkaitan untuk informasi keselamatan kawasan pesisir pantai.


Pengarang :