Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Parlimen Bangi rekod penduduk tertinggi, Lubok Antu terendah pada 2023

PUTRAJAYA, 26 JUN: Parlimen Bangi mencatatkan jumlah penduduk tertinggi antara 222 kawasan Parlimen di Malaysia iaitu 708,300 orang pada 2023, demikian menurut Statistik Subnasional Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.

Ia diikuti dua lagi parlimen di Selangor iaitu Kota Raja dan Subang masing-masing dengan 538,900 dan 492,600 penduduk.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata tiga parlimen di Sarawak merekodkan jumlah penduduk kurang 30,000 orang iaitu Kanowit dengan 25,300 orang, diikuti Lubok Antu dan Igan masing-masing 27,400 dan 28,000 orang.

“Parlimen Wangsa Maju di Kuala Lumpur merupakan parlimen yang merekodkan kepadatan penduduk tertinggi 13,587 orang bagi setiap kilometer (km) persegi.

“Pandan di Selangor berada di kedudukan kedua dengan kepadatan 11,713 orang per kilometer persegi, manakala Jelutong di Pulau Pinang menduduki tempat ketiga iaitu 11,576 orang per kilometer persegi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan komposisi demografi penduduk Malaysia pada 2023, penduduk Bumiputera tertinggi direkodkan di Parlimen Setiu iaitu 125,400 orang manakala etnik Cina tertinggi direkodkan di Kepong 72.2 peratus atau 64,000 orang dan Parlimen Ipoh Barat mencatatkan peratusan etnik India tertinggi iaitu 26.0 peratus atau 33,500 orang.

Menurut Mohd Uzir, Parlimen Batu mendominasi jumlah tertinggi penduduk umur bekerja iaitu antara 15 hingga 64 tahun seramai 177,200 orang, diikuti Batu Kawan (132,300 orang) dan Kepong (83,700 orang).

“Jumlah penduduk dalam kumpulan umur muda 0 hingga 14 tahun tertinggi direkodkan di beberapa kawasan parlimen termasuk Putrajaya 43,000 orang, Gua Musang (40,800 orang) dan P109 Tumpat (61,000 orang),” jelasnya.

Dalam konteks infrastruktur pendidikan dan kesihatan, beliau berkata Parlimen Baram di Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi bagi bilangan sekolah dan fasiliti dengan memiliki 86 sekolah, termasuk 77 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah serta 22 klinik kesihatan.

Dari aspek fasiliti kemudahan asas pula katanya Parlimen Pulai memiliki jumlah stesen minyak terbanyak dengan 71 stesen, Bangi (66 kedai dobi), Lahad Datu (618 kedai runcit), Petaling Jaya (232 farmasi) dan Subang (140 restoran).

– BERNAMA


Pengarang :