Kepulan asap tebal menyeliputi bandar Gaza susulan serangan udara Israel pada 11 Oktober 2023. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

PBB: Israel sekat bantuan, kebuluran jadikan Gaza ‘neraka dunia’

NEW YORK, 17 JUN: Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths, berkata pengeboman Israel di Gaza sejak 7 Oktober 2023 telah menjadikan sektor yang dikepung itu sebagai neraka di dunia.

Griffiths berkata dalam satu kenyataan pada Isnin bahawa penyaluran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Semenanjung Gaza yang berada di ambang kebuluran adalah hampir mustahil, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Beliau menyatakan infrastruktur di Semenanjung Gaza telah mengalami kerosakan yang teruk dan terdapat pempolitikan bantuan di tengah-tengah penularan kelaparan dan penyakit dalam kalangan orang awam.

Beliau juga menegaskan bahawa petugas kemanusiaan dan PBB di Gaza telah terbunuh dalam jumlah yang tidak munasabah.

Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan PBB itu berkata senjata terus memasuki Israel dari Amerika Syarikat dan negara-negara lain walaupun terdapat kesan dahsyat serangan terhadap orang awam di Gaza.

-BERNAMA-WAFA


Pengarang :