ADN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze bercakap kepada media berkenaan projek naik taraf pemasangan penghadang bola di Padang Awam, USJ 11, Subang Jaya pada 21 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

PBT perlu kemuka rancangan naik taraf lepas laksana kadar baharu cukai

SUBANG JAYA, 21 JUN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyediakan laporan perancangan kerja naik taraf dan perkhidmatan selepas melaksana kadar baharu cukai taksiran mulai 1 Januari 2025.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata langkah itu penting dalam memastikan penduduk cakna penambahbaikan yang diperolehi hasil penilaian semula cukai terbabit.

“PBT perlu ada perancangan teliti, contohnya dalam tempoh 100 hari selepas kenaikan cukai dibuat, apakah lima perkara yang akan dilaksanakan.

“Saya cadang Kerajaan Negeri satukan naratif perkara ini dan PBT perlu sediakan laporan perancangan yang bakal dilaksana di kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui hari ini.

Lapan PBT tidak membuat semakan kadar cukai taksiran membabitkan tanah kosong, perumahan, kilang dan perniagaan antara kira-kira 20 hingga 40 tahun lalu.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, diikuti Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) 37 tahun sejak 1987 dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 32 tahun sejak 1992.

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pula tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway. Manakala kawasan USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) 28 tahun sejak 1996.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.

Pada 30 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses penilaian baharu yang dijalankan PBT penting demi memastikan keberkesanan perancangan bandar.

 


Pengarang :