Skuadron Perisai 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan di sepanjang Sungai Golok pada 7 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PDRM, Thailand kerjasama buru suspek lepas tembakan terhadap anggota kastam

KOTA BHARU, 23 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa Thailand bekerjasama memburu suspek yang melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota kastam ketika operasi penguatkuasaan membanteras penyeludupan petrol dan diesel berhampiran pangkalan haram Pok Mat, Kampung Simpangan di Tumpat, Rabu lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci memandangkan ia melibatkan hubungan dua negara.

“Polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada hari sama (Rabu) dan kami sudah bertukar maklumat dengan polis Thailand,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Beliau berkata bagi mengukuhkan kawalan sempadan, Pasukan Gerakan Am diarah memperketat kawalan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand manakala pihak kastam diminta tidak bersendirian ketika menjalankan operasi.

Menurut Muhamad Zaki beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan agensi keselamatan lain supaya perkara sama tidak berulang.

“Setiap agensi penguatkuasaan di sempadan perlu bersedia dengan segala tindak balas daripada kumpulan penyeludup terutamanya memaklumkan mengenai lokasi setiap anggota yang menjalankan tugas di sempadan,” katanya.

Dalam kes lain, Muhamad Zaki berkata polis menahan dua lelaki dan merampas empat senapang buatan sendiri hasil pemeriksaan di sebuah rumah separuh bina di Pos Balu, Gua Musang dan Kampung Panchor di sini semalam.

Beliau berkata pemeriksaan di rumah separuh bina berkenaan menemukan dua laras senapang buatan sendiri, botol cecair dipercayai spirit serta 15 guli disyaki milik lelaki terbabit.

Pemeriksaan lanjut terhadap kotak rokok berjenama pula menjumpai tiub lut sinar berisi enam pil kuda.

“Tangkapan kedua di Kampung Panchor melibatkan seorang buruh berusia 41 tahun.

“Polis merampas dua senapang buatan sendiri, enam pil kuda, 15 guli serta sebotol cecair spirit,” katanya menambah lelaki itu positif terhadap Methamphetamine selain memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu direman hingga Selasa ini untuk siasatan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

– BERNAMA


Pengarang :