AGENDAJENAYAH

Pelajar sekolah maut dipercayai mangsa kemalangan langgar lari

SEREMBAN, 3 JUN: Remaja lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan di Batu 9 Jalan Labu, Nilai pada 6.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata remaja berusia 14 tahun yang menunggang motosikal dari arah Kampung Tebing menghala ke Nilai itu dipercayai mangsa kemalangan langgar lari.

“Apabila tiba di lokasi kemalangan, motosikal itu dipercayai dilanggar sebuah kenderan lain dari arah sama.

“Akibat kemalangan tersebut, pelajar sekolah menengah itu mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh paramedik Klinik Kesihatan Nilai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Insp Muhammad Farid Danial Azli di talian 012-9122198.

– BERNAMA


Pengarang :