Kumpulan Fresh Air yang terdiri daripada enam pelajar Universiti Malaya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah (lima dari kiri) pada 6 Jun 2024. Foto Facebook Air Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pelajar UM juara hasilkan inovasi pantau kebocoran sistem paip Air Selangor

SHAH ALAM, 21 JUN: Enam pelajar dari Univerisiti Malaya (UM) menjuarai pertandingan Data & Digital Hackathon 2024 anjuran Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), baru-baru ini.

Menurut syarikat itu, kumpulan dikenali sebagai Fresh Air memperkenal Sistem Sentinel HydroRise, inovasi bagi memantau dan meramal kebocoran dalam sistem paip agihan Air Selangor.

“Kami berbesar hati menjadi penyedia perkhidmatan air pertama Malaysia yang menganjurkan Data & Digital Hackathon 2024 buat julung kalinya sebagai platform bagi peminat teknologi.

“(Mereka) berkongsi pandangan dan menyelesaikan set data raya yang kompleks menggunakan aplikasi sains data, yang menyumbang kepada kemajuan pendigitalan industri perkhidmatan air,” katanya.

Menerusi video di Facebook, pasukan Fresh Air membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah.

Pemenang lain ialah kumpulan Air Force (tempat kedua) dan The HackSmith (tempat ketiga), manakala Neroz pula juara bawah kategori kakitangan menerusi 149 penyertaan sejak Januari lalu.

Syarikat itu menambah penilaian dibuat menerusi pemilihan 10 pasukan teratas yang bersaing dengan pembentangan idea masing-masing di sebuah hotel di Petaling Jaya.

“Intipati pandangan mereka yang berharga ini bukan sahaja membuka lembaran baharu tetapi membentuk perjalanan Air Selangor ke arah penyelesaian dan perkhidmatan lebih mesra pengguna,” katanya.

 


Pengarang :