Pelakon Riezman Khuzaimi membuka gerai jualan Kedai Kuppi ketika ditemubual sempena Pilih Karnival Mega anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pelakon Riezman Khuzaimi jual kopi di karnival PKNS, peluang jumpa peminat

SHAH ALAM, 30 JUN: Pengunjung Pilih Karnival anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berpeluang menikmati pelbagai hidangan istimewa dari artis terkenal tanah air di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Antara yang membuka gerai jualan di karnival berkenaan ialah pelakon Riezman Khuzaimi yang menjual aneka minuman kopi dibawah jenama Kedai Kuppi.

Riezman ketika ditemui berkata beliau gembira dapat menyediakan sendiri kopi kepada pengunjung sekali gus berpeluang bertemu peminatnya di Shah Alam secara empat mata.

Pelakon Riezman Khuzaimi membuka gerai jualan Kedai Kuppi ketika ditemubual sempena Pilih Karnival Mega anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Alhamdulillah kerana saya berpeluang meniaga di sini. Saya telah mulakan perniagaan kopi ini sejak 2019 dan membuka beberapa kafe di sekitar Kuala Lumpur, Sepang dan Shah Alam.

“Namun akibat masalah kekurangan pekerja, saya terpaksa menutup semua kafe dan menjalankan perniagaan secara mobile mengikut permintaan pelanggan. Sekarang saya tiada pekerja dan saya sendiri yang bancuh kopi ini,” katanya kepada Selangorkini.

Kedai Kuppi menyediakan pelbagai menu minuman antaranya kopi berperisa oren, Americano, Spanish Latte, Cream Brulee Latte dan Mojito Soda Asam Boi yang dijual pada harga antara RM7 hingga RM10 sahaja.

Menurut Riezman, beliau mempelajari seni membuat kopi di Acheh, Indonesia selain menggunakan biji kopi berkualiti tinggi yang diimport dari Vietnam.

Pelakon berusia 54 tahun itu turut bercita-cita mengembangkan jenama Kedai Kuppi di seluruh negara menerusi model francais mikro dengan tawaran modal mampu milik menjelang akhir tahun ini.

“Banyak gerai kopi mulai tumbuh seperti cendawan selepas musim hujan sekarang. Perkembangan itu amat bagus kerana masyarakat kita sudah tahu nilai kopi dan khasiatnya.

“Saya berharap dapat kembangkan perniagaan bersama usahawan mikro supaya kita dapat menjana keuntungan bersama sekali gus memperkenalkan kopi bermutu tinggi kepada peminat kopi,” katanya.

Pilih Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dianjur sebagai platform kepada PKNS mendekati orang ramai menerusi pelbagai aktiviti selain mempromosikan produk kepada umum.

Ditubuhkan pada 1 Ogos 1964, PKNS menyambut ulang tahun ke-60 pada tahun ini sebagai agensi pembangunan negeri antara yang terunggul di Malaysia.


Pengarang :