BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Pemain terbaik kejohanan Euro, dari Platini hingga Cristiano Ronaldo

Oleh NAZLI IBRAHIM

Reputasi gah, penyertaan banyak negara kuasa besar serta penampilan pemain bintang menjadikan kejohanan bola sepak Piala Eropah (Euro) cukup berprestij.

Pertandingan kendalian Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) sejak 1960 itu antara tumpuan peminat bola sepak antarabangsa selepas Piala Dunia.

Setiap empat tahun sekali, pemain memahat nama sebagai penjaring terbanyak kejohanan itu, antaranya Gerd Muller dari Jerman, Marco van Basten (Belanda), Alan Shearer (England) dan Cristiano Ronaldo (Portugal).

Bermula edisi ke-10 pada 1996 di England, UEFA memperkenalkan anugerah pemain terbaik kejohanan dan tujuh pemain sudah memenangi anugerah itu.

Namun, bintang Perancis Antoine Griezmann satu-satunya pemain terbaik kejohanan yang gagal membantu pasukan menjulang Piala Eropah selepas tewas 0-1 kepada Portugal di laman sendiri pada 2016.

Sempena Euro 2024 antara 14 Jun hingga 14 Julai, Selangorkini menyorot enam pemain terbaik yang pernah membawa negaranya menjuarai kejohanan sejak anugerah itu diperkenal.

MATTHIAS SAMMER (JERMAN)

Pemain pertahanan ini cemerlang membantu Die Nationalmannschaft menang Euro 1996 di England bersama barisan pemain bintang seperti Jurgen Klinsmann, Andreas Kopke dan Andreas Moller.

Kejayaan itu melengkapkan musim gemilang Sammer yang turut membantu Borussia Dortmund memenangi Bundesliga pertama pada musim 1994/1995.

Corak permainannya hampir menyamai legenda Jerman Franz Beckenbauer dan turut menjaringkan dua gol. Prestasi cemerlang itu melayakkan beliau dinobat pemain terbaik Euro pertama.

ZINEDINE ZIDANE (PERANCIS)

Legenda Perancis Zinedine Zidane antara bintang bola sepak dunia mendapat anugerah pemain terbaik pada kejohanan 2000.

Masih segar kejayaan juara Piala Dunia pada 1998, Zidane muncul tonggak penting Perancis menjuarai Euro 2000 dengan penuh bergaya apabila menewaskan Itali 2-1 pada perlawanan akhir.

Perancang tengah Real Madrid yang memegang tanda harga pemain bola sepak termahal dunia ketika itu turut menjaring dua gol pada edisi yang berlangsung di Belgium-Belanda.

THEODOROS ZAGORAKIS (GREECE)

Kapten pasukan Greece ini dianggap ‘pemain ajaib’ apabila berjaya mengemudi negaranya menjulang trofi Euro pada 2004.

Meski gaya permainan bertahan Ethniki pada peringkat kumpulan dikritik hebat, pemain kelab PAOK FC bersama rakan sepasukan berjaya menterjemah strategi diterapkan jurulatih Otto Rehhagel.

Greece ke akhir selepas menyingkirkan pasukan pilihan seperti Sepanyol, Perancis dan Republik Czezh. Tandukan Angelos Charisteas memastikan Portugal rebah di laman sendiri.

XAVI HERNANDEZ (SEPANYOL)

Pemain Catalan ini dianggap perancang terbaik La Roja bersama Andres Iniesta sehingga menang dua Piala Euro berturut-turut pada 2008 & 2012.

Ketenangan Xavi membantu Sepanyol menang lima perlawanan dan satu seri sepanjang kejohanan dengan corak permainan ‘tiki-taka’.

Beliau yang merekod empat bantuan gol dinobat pemain terbaik Euro 2008 di Austria-Switzerland.

ANDRES INIESTA (SEPANYOL)

Mengulangi kehebatan rakan sepasukannya Xavi, pemain tengah Barcelona itu mencorakkan rentak permainan Sepanyol hingga berjaya mengekalkan kejuaraan Euro 2012.

Kreativiti bintang generasi emas juara Piala Dunia 2010 ini menjadi nadi penting pasukan yang melakar empat kemenangan dan dua seri sepanjang kejohanan di Poland-Ukraine.

Iniesta yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir ketika menewaskan Itali 4-0 turut dinobat bintang terbaik kejohanan.

GIANLUIGI DONNARUMMA (ITALI)

Beliau muncul penjaga gol tunggal dinobat pemain terbaik sejak kejohanan diperkenal pada 1960. Penjaga gol Paris Saint-Germain itu meraih anugerah tersebut pada Euro 2020.

Donnarumma yang tidak bolos dalam tiga perlawanan sepanjang kejohanan muncul wira ketika menyingkirkan Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti di separuh akhir.

Penjaga gol tinggi lampai itu turut cemerlang menafikan penalti Jadon Sancho dan Bukayo Saka ketika menewaskan tuan rumah England 3-2, membawa Gli Azzurri menjulang trofi Euro kedua dalam sejarah.

 


Pengarang :