AGENDANASIONAL

Pemandu diserang sawan, kereta terbabas langgar tembok kubur

KEPALA BATAS, 18 JUN: Seorang lelaki diserang sawan menyebabkan kenderaan dipandunya terbabas ke kawasan perkuburan di Jalan Kedah di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Supt Zulkeflee Sulaiman berkata bagaimanapun, pemandu berusia 37 tahun itu terselamat dan hanya mengalami kesakitan pada bahagian rusuk.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 2.45 petang ketika lelaki itu yang bekerja sebagai pembantu am, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Permatang Tinggi A di sini selepas selesai beraya di Permatang Haji Hassan.

“Apabila tiba di lampu isyarat Jalan Kedah, pemandu kereta telah diserang sawan lalu kenderaannya terbabas melanggar tembok kubur dan memasuki kawasan tanah perkuburan.

“Mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, dan menambah kes diklasifikasikan di bawah Rule 10 LN 166/59.

Terdahulu, rakaman video berdurasi satu minit enam saat memaparkan sebuah kereta terbabas dalam kawasan tanah perkuburan tular melalui media sosial.

-BERNAMA


Pengarang :