AGENDAJENAYAH

Pembantu penguasa kastam didakwa atas 90 tuduhan terima rasuah

KOTA BHARU, 4 JUN: Seorang Pembantu Penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengaku tidak bersalah terhadap 90 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM84,400 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Ahmad Emin Nazrul Ahmad Nazrin, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Dia didakwa menerima suapan antara 20 Mei 2017 dan 3 Sept 2023 berjumlah keseluruhan RM84,400 dengan kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Kota Bharu, di sini.

Petugas Kastam itu didakwa secara rasuah memperoleh suapan daripada pemilik syarikat Kalos Enterprise melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank masing-masing sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori kargo milik syarikat itu yang membawa keluar barangan dari kargo KLIA.

Ahmad Emin didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali dan tertuduh diwakili peguam Adhwa’ Afiqah Mohd Azmi.

Terdahulu Mohd Afif memohon mahkamah mengenakan jaminan RM40,000 ke atas tertuduh beserta syarat tambahan perlu melapor diri ke ibu pejabat SPRM Putrajaya setiap bulan, tidak berhubung dengan mana-mana saksi dan dilarang mengakses sistem data komputer kastam berhubung kes berkenaan.

Bagaimanapun peguam Adhwa Afiqah memohon jaminan rendah memandangkan tertuduh mempunyai tiga anak, selain isterinya tidak bekerja dan menjaga ibunya yang sedang sakit.

Mahkamah membenarkan Ahmad Emin Nazrul diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM Putrajaya sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 21 Julai ini untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA


Pengarang :