PBTSELANGOR

Pemilik harta terima notis nilaian baharu MBSJ boleh buat bantahan hingga 2 Ogos

SHAH ALAM, 28 JUN: Pemilik harta yang menerima notis senarai nilaian baharu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) boleh membuat bantahan sehingga 2 Ogos.

Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MBSJ memaklumkan 326,646 Notis Senarai Nilaian Baharu dihantar melalui pos kepada pemilik hartanah untuk pemakluman sejak 21 Jun.

“Bantahan nilaian boleh dibuat menerusi laman sesawang MBSJ di pautan https://bantahan.mbsj.gov.my/ sebelum atau selewat-lewatnya pada 2 Ogos,” katanya dalam kenyataan.

Menurut MBSJ semakan semula nilaian bagi mengimbangi pendapatan, perbelanjaan dan pengurusan perkhidmatan MBSJ yang semakin meningkat sekali gus menyokong urus tadbir bandar raya lebih cekap untuk keselesaan serta kesejahteraan komunitinya.

Jelasnya Kerajaan Negeri menetapkan kenaikan cukai taksiran baharu tidak melebihi 25 peratus dari cukai lama melibatkan semua kategori harta iaitu kediaman, perdagangan, perindustrian, dan tanah kosong (pertanian).

“Pemilik harta boleh menyemak senarai nilaian baharu di kaunter semakan di Laman Kenanga, Aras 1 MBSJ, Persiaran Perpaduan, USJ 5 bermula semalam hingga 2 Ogos,” katanya.

Sebelum ini MBSJ memaklumkan nilaian baharu cukai taksiran akan dikuatkuasa pada 1 Januari 2025.

Pihaknya tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway manakala USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

 


Pengarang :