Sebahagian aksi Selangor FC ketika berdepan Perak FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 23 Jun 2024. Foto Facebook Selangor FC
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Pemimpin negeri sedia sumbang separuh gaji bantu bayar denda Selangor FC

SHAH ALAM, 26 JUN: Beberapa wakil rakyat negeri bersedia menyumbang separuh gaji mereka bulan depan untuk membantu pasukan Selangor FC membayar denda kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Tindakan atas semangat solidariti dibuat Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tawar Datuk Rizam Ismail, ADN Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad dan ADN Kota Damansara Izuan Kasim.

Rizam dalam kenyataan menyebut solidariti itu bukan sandiwara politik, sebaliknya manifestasi dukungan warga Rumpun Selangor kepada pasukan Gergasi Merah yang juga kebanggaan negeri.

“Seyogia atas semangat solidariti bersama Selangor FC dan rakan-rakan, saya mengumumkan untuk menyumbang separuh gaji ADN bulan depan bagi membantu pasukan itu membiayai denda berkenaan.

“Sesungguhnya, solidariti ini bukan sandiwara politik sebaliknya manifestasi dukungan warga Rumpun Selangor kepada pasukan Gergasi Merah kebanggaan negeri kita, walau di atas mahupun bawah, tetap setia bersama,” katanya yang juga EXCO perpaduan.

EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail bercakap kepada media selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Negeri Selangor di Dewan Seri Nakhoda Bagan Nakhkoda Omar, Sabak Bernam pada 9 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Rizam turut berharap orang ramai terus memberi sokongan teguh kepada pasukan itu supaya semua pemain kekal bersemangat mendepani cabaran dan kekal unggul dalam bola sepak negara.

Semalam, MFL memaklumkan Selangor FC didenda RM100,000 dan dipotong tiga mata dalam saingan Liga Super kerana tidak hadir perlawanan Piala Sumbangsih menentang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Skuad Merah Kuning itu juga perlu membayar sejumlah kerugian ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu, dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.

Sementara itu, Izuan menerusi laman X menyuarakan hasrat sama bagi membantu menampung sejumlah denda yang dikenakan berikutan Selangor FC menarik diri dalam Piala Sumbangsih pada 10 Mei.

“Sebagai anak jati Selangor, aku sanggup sumbang separuh daripada gaji bulan depan untuk Selangor FC bagi membayar denda yang dikenakan kepada pasukan terbabit,” katanya.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad ketika program santai bersama anak muda menonton filem Sheriff di Aeon Rawang pada 26 April 2024. Foto NAZLI IBRAHIM/SELANGORKINI

Perkara sama turut dinyatakan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad demi membayar harga ‘kezaliman’ yang dikenakan MFL ke atas skuad berkenaan.

“Saya dermakan separuh gaji bulan ini untuk Selangor FC, sebagai orang yang pernah bekerja rapat dengan pasukan itu sekitar 2015 ke 2016 bawah kendalian Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Saya akan mendermakan separuh gaji bersih saya untuk membantu SFC membayar harga kezaliman yang dikenakan oleh MFL. Lawan tetap lawan!,” tegasnya.

Selain didenda dan dipotong mata, perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga akan dimainkan tanpa penonton.

Selangor dilaporkan terpaksa menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih susulan insiden bintangnya Mohamad Faisal Abdul Halim menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei.

 


Pengarang :