Air Selangor pembekal tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk masih terima bekalan setakat tengah hari meski aliran air perlahan

SHAH ALAM, 5 JUN: Penduduk di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang masih menerima bekalan air setakat 12 tengah hari tadi, meskipun lokasi mereka tersenarai berdepan gangguan air berjadual.

Menurut laporan Harian Metro, salah seorang penduduk Kampung Changkat, Gombak berkata air di kawasan rumahnya masih boleh digunakan walaupun aliran perlahan dan keruh sejak semalam.

Nurfaseha Tarmizi, 33, memberitahu air tersebut juga tidak berbau dan kain bersih diletakkan pada paip sebagai alternatif untuk menapis air secara manual supaya ia lebih jernih.

“Tetapi saya tetap menyediakan bekalan dengan menyimpan satu tong air untuk kegunaan keluarga selain air minuman. Untuk membasuh pakaian, air paip masih boleh digunakan,” katanya.

Peniaga nasi ayam di Apartment Putra Ria, Bangsar pula berkata perniagaannya beroperasi seperti biasa berikutan bekalan air di kawasan tersebut tidak mengalami gangguan.

Bagaimanapun, Mohd Fikri Che Bahas, 31, tetap menyimpan dua tong besar bekalan air bersih untuk kegunaan di gerai selepas menerima notis pemberitahuan gangguan dua hari lalu.

“Setakat ini air masih ada biarpun perlahan tetapi tidak menjejaskan operasi gerai. Kami memasak dan membasuh peralatan seperti biasa kerana gangguan bekalan air tidak menjejaskan kerja.

“Kalau bekalan air masih sama, kami akan membuka gerai esok dan hari seterusnya. Jika sekejap lagi bekalan air terganggu, kami akan tutup operasi sementara,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan melaksanakan penyenggaraan aset Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 bermula 9 pagi tadi.

Proses itu dijangka siap jam 7 malam ini dan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Air Selangor memaklumkan pengguna bakal menerima bekalan air secara berperingkat bermula jam 3 pagi esok selepas sistem agihan utama bekalan distabilkan.


Pengarang :