AGENDAJENAYAH

Penganggur ditahan cuba ragut barang berharga milik wanita

PUTRAJAYA, 22 JUN: Polis menahan seorang lelaki dipercayai terbabit kejadian cubaan meragut barangan berharga milik seorang wanita warga China di Southville City di Sepang semalam yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan hari ini berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di Kampung Jenderam Hilir 4 petang semalam susulan laporan yang diterima.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan seorang lelaki yang merakam kejadian itu yang berlaku di sebuah kawasan kediaman di Southville City kira-kira 10.45 pagi semalam.

“Suspek seorang pengangggur dan tidak mempunyai rekod lampau, turut dirampas motosikal yang digunakan dalam kejadian,” katanya sambil menambah permohonan reman dilakukan hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 kanun keseksaan.

Wan Kamarul meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak berkongsi berita yang tidak benar mengenai kejadian itu di media sosial.

Difahamkan dalam kejadian tersebut, seorang lelaki menaiki motosikal dikesan cuba meragut barangan berharga mangsa yang diletakkan di tepi jalan.

Namun, cubaan ragut itu tidak berhasil dan suspek kemudian melarikan diri, tetapi kejadian itu sempat dirakam orang awam, malah nombor pendaftaran motosikal suspek juga berjaya direkodkan dalam video berdurasi 28 saat yang tular di TikTok.

– BERNAMA


Pengarang :