Ng Sze Han menghadiri majlis pelancaran Kilang Korporat Chery yang juga fasiliti pemasangan tempatan (CKD) pertama di Asean bagi subjenama model kenderaan utiliti sukan (SUV) premium Jaecoo pada 18 Jun 2024. Foto Facebook Ng Sze Han
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pengeluar kenderaan China buka kilang, sedia lebih 500 peluang kerja

SHAH ALAM, 19 JUN: Lebih 500 peluang pekerjaan ditawar kepada rakyat Selangor susulan pembukaan kilang pemasangan kenderaan Chery Automobile Co Ltd di Taman Perindustrian Subang, di sini.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata pembukaan kilang berkenaan turut mencipta 1,000 lagi jawatan baharu di pusat jualan, perkhidmatan dan alat ganti jenama pengeluar kenderaan dari China itu di seluruh negara.

“Selangor terus bersinar sebagai hab dinamik di Asia Tenggara dan ia dibuktikan dengan kehadiran Chery yang juga jenama kenderaan terkemuka ke negeri ini.

“Pelaburan ini membuktikan pertumbuhan ekonomi negeri kian memberansangkan selain faktor penyediaan infrastruktur terbaik yang mampu membantu pelabur mengembangkan sayap mereka,” katanya kepada Selangorkini.

Semalam, Sze Han menghadiri majlis pelancaran Kilang Korporat Chery yang juga fasiliti pemasangan tempatan (CKD) pertama di Asean bagi subjenama model kenderaan utiliti sukan (SUV) premium Jaecoo.

Turut hadir Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China Dr Jin Zhuanglong.

Malaysia dan China meraikan hubungan jubli emas sempena ulang tahun diplomatik ke-50 tahun kedua-dua negara yang dimeterai pada 31 Mei 1974.

Perdana Menteri China China Li Qiang mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia mulai semalam dan kunjungan itu dijangka mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara khususnya sebagai rakan perdagangan terbesar.

 


Pengarang :