Petugas Air Selangor sedang giat melakukan kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pada 5 Jun 2024. Foto Facebook Air Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pengguna dijangka terima bekalan air secara berperingkat 3 pagi esok

SHAH ALAM, 5 JUN: Pengguna terlibat kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) menerima bekalan air secara berperingkat bermula jam 3 pagi esok.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kerja penyenggaraan dan penggantian aset yang bermula jam 9 pagi tadi sedang giat dilakukan.

“Kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di LRA SSP1 yang bermula jam 9 pagi tadi sedang giat dijalankan dan dijangka siap pada 7 malam, hari ini.

“Pengguna dijangka akan menerima bekalan air secara berperingkat bermula 3 pagi, 6 Jun setelah kerja penyenggaraan dan penggantian aset siap, dan seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air distabilkan,” katanya.

Terdahulu Air Selangor memberitahu kerja penyenggaraan dan penggantian aset di loji berkenaan dimulakan jam 9 pagi ini mengikut jadual. Proses itu dijangka siap jam 7 malam ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/ selain Facebook, Instagram dan X.

Syarikat itu juga boleh dihubungi di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.


Pengarang :