AGENDANASIONAL

Pengguna media sosial dirakam percakapan berhubung hantaran jelik terhadap kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia merakam percakapan seorang pengguna media sosial di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya Jumaat lalu berhubung hantaran jelik terhadap seorang kanak-kanak.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan rakaman percakapan itu susulan aduan diterima terhadap pemilik akaun Facebook ‘Adeline Chang’ yang dipercayai memuat naik gambar seorang kanak-kanak serta keterangan gambar bersifat jelik.

“Terdahulu, MCMC menyerahkan notis kehadiran kepada suspek mengikut prosedur ditetapkan dan satu unit telefon bimbit serta kad sim dipercayai miliknya yang digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan disita bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurut MCMC, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntuk hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya dan denda lanjutan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, jika sabit kesalahan.

Kenyataan itu menyebut seksyen berkenaan melarang penghantaran komunikasi melalui kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi yang antara lain bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

MCMC mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada sebelum memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan terutama yang melibatkan kanak-kanak.

Suruhanjaya itu komited dalam usaha meningkatkan kesedaran bagi melindungi keselamatan kanak-kanak melalui kerjasama dengan pelbagai pihak selain memastikan tindakan tegas diambil ke atas mereka yang terlibat dengan salah laku terhadap golongan tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :