Pengunjung merasai pengalaman menaiki belon udara panas sempena Pilih Karnival Mega anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pengunjung karnival PKNS teruja naik belon udara panas percuma

SHAH ALAM, 30 JUN: Menaiki belon udara panas secara percuma menjadi tarikan utama karnival anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Dataran Kemerdekaan di sini.

Berlangsung dua hari sejak semalam, pengunjung Pilih Karnival berpeluang merasai pengalaman dibawa ‘terbang’ selama dua minit pada ketinggian kira-kira 70 kaki.

Pengusaha pastri dan kek, Suhana Sulaiman, 45, mengakui gembira dapat membawa anaknya, Aiman Fuad, 6, menaiki belon berkenaan.

Pengusaha pastri dan kek, Suhana Sulaiman, 45, bersama anaknya, Aiman Fuad, 6,

“Semalam saya sudah datang tetapi tidak sempat beratur kerana sudah tutup. Jadi saya datang sekali lagi pagi ini kerana mahu anak merasai pengalaman manis ini.

“Ini pertama kali saya dan anak naik belon udara panas. Kami rasa sangat teruja dan bertuah kerana berpeluang naik belon udara panas,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, suri rumah, Abby Jamil, 39, turut tidak melepaskan peluang menaiki belon udara panas selepas menyertai program zumba di karnival berkenaan pagi tadi.

Suri rumah, Abby Jamil, 39, bersama anaknya, Ayesha Saiful Azman, 9,

“Bukan selalu belon udara panas ada di Shah Alam. Jadi saya ajak anak naik bersama dan dia pun rasa sangat gembira dan langsung tidak takut pada ketinggian,” katanya.

Pilih Karnival dianjur sebagai platform kepada PKNS mendekati orang ramai menerusi pelbagai aktiviti selain mempromosikan produk kepada umum.

Ditubuhkan pada 1 Ogos 1964, PKNS menyambut ulang tahun ke-60 pada tahun ini sebagai agensi pembangunan negeri antara yang terunggul di Malaysia.

Pengunjung merasai pengalaman menaiki belon udara panas sempena Pilih Karnival Mega anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 


Pengarang :