AGENDANASIONAL

Penjimatan subsidi diesel bantu rakyat termasuk penguat kuasa

SHAH ALAM, 24 JUN: Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel membantu kerajaan menyalur lebihan kewangan itu untuk meningkatkan taraf hidup rakyat termasuk aspek penguatkuasaan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sebelum penyasaran subsidi, ada pihak yang mengambil hak rakyat termasuk penyeludup dari negara jiran.

“Usaha kerajaan untuk memperbaik negara, bukan untuk susahkan rakyat. Kerajaan bagi penyasaran duit kepada mereka yang layak RM200 sebulan, kita menolong mereka yang terdiri daripada pesawah dan petani.

“Penyasaran ini juga membolehkan kerajaan membantu semua agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan kastam membenteras penyeludupan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat ke-15 hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) mengenai langkah kerajaan melindungi penguat kuasa dalam penugasan membenteras penyeludupan diesel.

Amir Hamzah menambah beliau amat terharu dengan dedikasi penjawat awam terutama kastam yang berani membenteras penyeludup di perairan Malaysia.

“Di kelatan hari itu, 15 bot cuba membawa keluar diesel ke negara jiran, kastam cuba tahan tetapi mereka melepaskan tiga das tembakan. Alhamdulilah pihak kita tidak terkesan,” katanya.

Minggu lalu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berdepan detik cemas apabila diancam penyeludup termasuk dilepaskan tiga das tembakan.

Kejadian berlaku ketika operasi penguatkuasaan di Sungai Golok di Kampung Simpangan, Pengkalan Kubor yang mengesan 15 bot berenjin galah melakukan aktiviti pemunggahan dipercayai membabitkan petrol dan diesel.

 

 


Pengarang :