AGENDANASIONAL

Penternak kambing maut dihempap pokok sagu

KUALA TERENGGANU, 24 JUN: Seorang penternak kambing maut selepas dihempap sebatang pokok sagu di Kampung Kolam, Mengabang Telipot, di sini hari ini.

Mangsa Mohamad Muaqil Mohamad Sabri, 26, dijumpai terbaring tidak sedarkan diri oleh bapanya yang datang untuk menemuinya di lokasi kejadian kira-kira 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata sejurus menerima laporan, pegawainya telah bergegas ke tempat kejadian dan mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

“Aduan dibuat oleh abang mangsa yang bekerja sebagai buruh kampung. Mangsa didapati meninggal dunia akibat cedera parah di kepala selepas dihempap pokok sagu yang ditebangnya sendiri untuk dijadikan makanan kambing peliharaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azli berkata siasatan mendapati kejadian itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

— BERNAMA


Pengarang :