Seorang murid sekolah menutup kepala dengan buku susulan cuaca panas ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan Serada Kuala Terengganu, Terengganu pada 3 Mei 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Penyakit berkaitan cuaca panas meningkat kepada 96 kes

PUTRAJAYA, 11 JUN: Pemantauan sehingga semalam menunjukkan jumlah kes kumulatif bagi penyakit berkaitan cuaca panas meningkat kepada 96 kes berbanding 93 kes pada 3 Jun lepas.

Menerusi laporan ringkas status cuaca panas Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) hari ini, pecahan kes mengikut diagnosis adalah 22 strok haba, 68 kelesuan haba dan enam kejang haba.

Bagaimanapun, agensi itu memaklumkan hanya satu kes baharu kematian akibat strok haba dilaporkan pada 4 Jun lepas melibatkan lelaki berusia 31 tahun di Ulu Kinta, Perak yang menjadikan kes kematian akibat strok haba meningkat kepada empat kes.

“Tiada kes yang dirawat di hospital pada masa ini. Semua kes telah mendapat rawatan dan sembuh,” kata agensi itu.

Sementara itu, Nadma menyebut sehingga semalam, hanya terdapat satu empangan yang menunjukkan penyusutan baki stok simpanan semasa air mentah dan berada pada paras bahaya iaitu Empangan Muda di Kedah pada tahap 28.32 peratus.

“Manakala enam empangan lain menunjukkan baki stok simpanan air mentah semasa berada pada paras amaran iaitu Empangan Malut di Kedah (30.00 peratus), Empangan Sembrong Barat di Johor (44.88 peratus), Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang (45.30 peratus), Empangan Timah Tasoh di Perlis (47.15 peratus), Empangan Bukit Merah di Perak (48.60 peratus) dan Empangan Pedu di Kedah (58.27 peratus),” katanya yang memetik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Berkaitan status cuaca panas empat daerah di Semenanjung yang mencatatkan cuaca panas tahap berjaga-jaga pada 7 Jun, sehari selepas itu hanya dua daerah yang mencatatkan tahap tersebut.

Bagi status pencemaran udara, Nadma berkata sepanjang tempoh 5 Jun hingga 11 Jun, terdapat dua kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 116 di Cheras (Kuala Lumpur) dan 167 di Kuala Dungun, Terengganu.

– BERNAMA


Pengarang :