Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Perdagangan perkhidmatan raih RM433.2 billion pada 2023, sumbang 23.8 peratus KDNK

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Jumlah perdagangan perkhidmatan Malaysia berjumlah RM433.2 bilion pada 2023, menyumbang 23.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK pada harga semasa), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Defisit dalam perdagangan perkhidmatan bertambah baik, defisit lebih rendah kepada RM43.2 bilion berbanding RM58.2 bilion pada 2022.

Eksport perkhidmatan berkembang sebanyak 37.9 peratus kepada RM195.0 bilion (Tahun 2022: RM141.1 bilion). Sementara itu, import perkhidmatan meningkat sebanyak 19.3 peratus kepada RM238.2 bilion berbanding tahun sebelumnya (2022: RM199.6 bilion).”

Perjalanan (pelancongan) yang merupakan penyumbang utama kepada perdagangan perkhidmatan, ia masih dalam proses pemulihan untuk mencapai tahap sebelum pandemik, katanya.

“Perjalanan pada 2023 mencatatkan lebihan sebanyak RM17.1 bilion selepas merekodkan defisit selama tiga tahun berturut-turut, disokong oleh perbelanjaan tinggi daripada pelancong asing di Malaysia.

Singapura merupakan destinasi utama bagi eksport perkhidmatan Malaysia dengan nilai RM55.3 bilion berbanding RM37.5 bilion pada tahun sebelumnya,

Amerika Syarikat (AS) merupakan negara kedua bagi destinasi eksport tertinggi dengan mencatatkan RM36.6 bilion diikuti China, merekodkan sebanyak RM12.9 bilion.

Pada masa sama, AS merupakan negara utama untuk import perkhidmatan dengan nilai sebanyak RM76.1 bilion pada 2023 terutamanya daripada perjalanan, perkhidmatan perniagaan lain dan pengangkutan.

“Ia diikuti oleh Singapura dengan nilai RM41.3 bilion dan United Kingdom dengan RM13.3 bilion. Secara keseluruhannya, pencapaian perdagangan perkhidmatan Malaysia pada 2023 menunjukkan perkembangan yang signifikan, seiring dengan trend global, kata DOSM.

– BERNAMA


Pengarang :