Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon menyampaikan cek cura naib johan Anugerah Komuniti PJSSR 2023 bernilai RM 15,000.00 kepada wakil Persatuan Penduduk Kampung Tunku SS1 ketika majlis Penyampaian Sumbangan Pasukan Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ) 2024 dan Penyampaian Hadiah “PJSSR Community Award” 2023 di Dewan Banquet MBPJ, Petaling Jaya pada 25 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Perkasa komuniti, MBPJ peruntuk RM550,000 jayakan program kejiranan

PETALING JAYA, 26 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan dana sejumlah RM550,000 bagi melaksanakan program Pasukan Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ) 2024.

Datuk bandarnya berkata PKKPJ bertujuan untuk memperkasakan komuniti selaras visi MBPJ menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya pintar, mampan dan berdaya tahan menjelang 2025.

Sehubungan itu, Mohamad Zahri Samingon berkata sebanyak 142 permohonan program berkenaan diluluskan dengan setiap persatuan diberi insentif sebanyak RM3,000.

“Program diperkenalkan sejak 2011 merupakan inisiatif di bawah Pelan Induk Keselamatan Petaling Jaya.

“Ia bertujuan menggalakkan penglibatan persatuan penduduk, rukun tetangga dan Majlis Pengurusan Komunti Kampung (MPKK) dalam program keselamatan di kawasan kejiranan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan PKKPJ 2024 di Dewan Banquet, MBPJ, di sini malam tadi.

Pada majlis sama, Mohamad Zahri memberitahu MBPJ turut menawarkan insentif sejumlah RM1,000 kepada lima persatuan bagi Anugerah Pelaporan PKKPJ Terbaik.

“Anugerah ini julung kali diadakan bagi mengiktiraf persatuan yang aktif dalam program keselamatan seperti rondaan di kawasan mereka,” katanya.

Anugerah tersebut dimenangi oleh Persatuan Penduduk Ara Impian, Ara Damansara, Persatuan Penduduk Jalan 14/1-14, Seksyen 14 dan Persatuan Penduduk PJS1 South Avenue.

Turut memenangi anugerah sama ialah Persatuan Penduduk PJS 10 Taman Sri Subang dan Kawasan Rukun Tetangga Blok 5 Desa Mentari.

 


Pengarang :