SHAH ALAM, 4 JUN: Pembeli projek perumahan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal mendapat kemudahan pembiayaan rumah daripada Malayan Banking Bhd (Maybank) termasuk pinjaman ubah suai kediaman.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS berkata pembeli berpeluang membuat pinjaman sehingga 90 peratus selain turut ditawar tambahan 30 peratus atau maksima RM250,000 bagi kerja hiasan menerusi skim MyDeco.
“Kami sedar ramai pemilik kediaman baharu menghadapi cabaran mengubah suai rumah atas faktor kekurangan bajet, lebih- lebih lagi dalam keadaan ekonomi hari ini di mana harga barangan semakin mencanak naik.
“Jadi inisiatif bertujuan membantu pemilik rumah memiliki kediaman sendiri dan lengkap dengan dekorasi yang diimpikan mereka. Skim ini ditawar untuk semua projek kendalian PKNS.
“Dalam masa sama, skim ini turut ditawar kepada anak syarikat yang mahu menambah pelbagai kemudahan seperti bumbung solar,” kata Dato’ Mahmud Abbas pada sidang media hari ini.
Terdahulu beliau menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) MyDeco dengan Maybank diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Syed Ahmad Taufik Albar.
Sementara itu, Syed Ahmad berkata menerusi kerjasama berkenaan, pihaknya akan memudahkan proses pemilikan rumah pelanggan sehingga kelulusan 120 peratus pinjaman termasuk margin tambahan untuk MyDeco.
“Dengan pembiayaan skim ini, pemilik rumah PKNS boleh melakukan kerja hiasan dan kos reka bentuk dalaman termasuk pembelian perabot, kelengkapan, estetika, hiasan dan sebagainya,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/06/pkns1-500x333.jpg.webp)