Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) pada sesi bergambar selepas merasmikan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat di Banting, pada 8 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Kerajaan lulus RM200 juta perkasa TVET, lonjak ke tahap lebih tinggi

BANTING, 8 JUN: Kerajaan meluluskan peruntukan segera RM200 juta bagi memperkasa dan meningkatkan penyertaaan belia menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan tambahan yang akan disalurkan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) itu, antara lain bertujuan menggalakkan institusi TVET membangun dan memperkasa program latihan seiring keperluan semasa pihak industri.

“Kita mahu supaya bidang berkaitan industri berimpak tinggi seperti kenderaan elektrik, bahan termaju atau advanced materials, teknologi elektrik, mekanisasi ladang serta automasi pertanian dan perladangan, diberi nilai tambah selaras perkembangan teknologi semasa.

“Ini juga memberi peluang kepada institusi TVET mewujudkan lebih banyak segmen TVET kepada masyarakat golongan orang kurang upaya (OKU), Orang Asli serta orang asal di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara, Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dalam masa sama, Anwar berkata institusi TVET negara perlu melakukan anjakan segera bagi melonjakkan bidang kemahiran itu ke tahap lebih tinggi, seiring peruntukan besar yang disediakan dan tumpuan khusus yang diberikan kerajaan terhadap pendidikan TVET.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan hampir RM8 bilion yang disediakan kerajaan, merupakan antara tertinggi dalam sejarah bidang pendidikan TVET dan ia seharusnya meletakkan bidang itu pada tahap tertinggi, sebagaimana negara maju lain.

“Kenapa kita terus bagi penekanan kepada pendidikan TVET? Antara sebabnya ialah negara memperoleh pelaburan atau FDI tinggi, yang pastinya pelabur memerlukan tenaga kerja mahir bagi pengoperasian syarikat mereka di sini.

“Negara besar seperti Amerika Syarikat dan Jerman juga begitu yakin dengan kemahiran yang ada pada jurutera Malaysia dan untuk itu kita perlu terus perkasakan bidang TVET untuk penyediaan tenaga kerja mahir yang berterusan,” katanya.

Perdana Menteri turut berterima kasih kepada Ahmad Zahid yang disifatkannya bersungguh-sungguh dan berjaya dalam membawa TVET kepada seluruh masyarakat, termasuk kepada mereka yang belajar al-Quran di pusat tahfiz.

Anwar berkata beliau mahu usaha itu terus disokong serta didokong oleh semua pihak agar ‘penghafaz al-Quran’ juga boleh menguasai bidang berketerampilan tinggi, seperti menjadi jurutera syarikat penerbangan.

“Ini mungkin memberi bebanan tambahan dari segi kos kepada kerajaan, tetapi usaha agresif yang dilakukan Zahid selaku Pengerusi TVET Negara ternyata berjaya merubah tanggapan terhadap bidang TVET dan ia harus disokong oleh semua pihak,” katanya.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut melancarkan Dasar TVET Negara 2030 yang akan menjadi garis panduan komprehensif untuk pelaksanaan TVET di Malaysia, dengan tumpuan utama untuk melahirkan pekerja berkemahiran dengan pendapatan tinggi.

– BERNAMA


Pengarang :