Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 7 November 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Malaysia kekal pertahan hak rakyat Palestin

SHAH ALAM, 25 JUN: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi pendirian bahawa Malaysia kekal konsisten mempertahankan hak rakyat Palestin.

Perdana menteri berkata pendirian itu turut dinyatakan Malaysia di peringkat global menerusi persidangan antarabangsa dan perjumpaan dengan pemimpin utama dunia.

“Saya ingin jelaskan pendirian Malaysia dalam soal perjuangan rakyat Palestin khsusunya Gaza.

“Malaysia tetap tegas dalam memperahankan hak rakyat. (pendirian ini) dinyatakan dalam sidang antarabangsa termasuk (ketika) berdepan dengan Presiden (Amerika Syarikat) Joe Biden, Olaf Scholz (Canselor Jerman), Anthony Albanese (Perdana Menteri Australia) dan baru-baru ini Perdana Menteri China Li Qiang.

“Kerajaan Malaysia satu-satunya kerajaan yang secara terbuka menemui pimpinan Hamas walaupun kita mendapat tekanan tetapi saya rasa ini satu yang harus kita lakukan dan pertahankan seperti mana kita perjuangkan Mandela di Afrika Selatan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Paya Besar Dato’ Mohd Shahar Abdullah mengenai keputusan konsortium syarikat pelaburan berkaitan kerajaan terhadap penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

Katanya, Kerajaan Madani pimpinannya juga mengambil pendirian paling tegas dalam sejarah kerajaan Malaysia terhadap syarikat milik Israel.

“Dalam pendirian kita (Kerajaan Madani) menangani syarikat Israel adalah paling tegas dalam sejarah kerajaan Malaysia. Syarikat Israel terus operasi sehingga tahun lalu hanya kerajaan Madani yang putuskan untuk memberhentikan semua perdagangan langsung termasuk dengan ZIM (syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel).

“Jadi kita harus terima kenyataan tentang ketegasan kerajaan sekarang dalam hal ini,” katanya.

Anwar sebelum ini dalam sidang Dewan Rakyat menggesa rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk melihat isu Palestin-Israel dari sudut pandang sejarah dan kemanusiaan.

Anwar berkata rakyat tidak seharusnya melihat ia sebagai isu berbeza dengan sikap kita terhadap kemerdekaan negara.

Beliau turut menegaskan Malaysia konsisten dengan pendirian keras membantah keganasan rejim Zionis dan mengingatkan supaya tiada pihak mempermainkan isu itu untuk mendapat kepentingan politik.


Pengarang :