Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis amanat khas PM bersama penjawat awam Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam pada 12 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM umum kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam sebelum Belanjawan 2025

PUTRAJAYA, 26 JUN: Kadar baharu kenaikan gaji bagi penjawat awam akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025 yang dijadual Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sudah terlalu lama tiada penyelarasan kenaikan gaji kepada penjawat awam.

“…kita harapkan mereka (penjawat awam) bekerja lebih kuat, sudah berbelas tahun tak ada kajian dan ganjaran yang adil.

“Sebab itu saya semalam di parlimen apabila ditegur saya tegaskan saya tidak bertolak ansur kerana tanggungjawab kita untuk memberikan apa yang mampu dan munasabah kepada penjawat awam dan Insya-Allah saya akan umumkan sebelum bajet atau belanjawan tahun ini,” katanya.

Anwar berkata demikian di dalam ucapannya pada majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Kali terakhir kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam diumumkan adalah sekitar 13 peratus pada 2013.

Pada 1 Mei lalu Perdana Menteri mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam yang menyaksikan kenaikan melebihi 13 peratus dan merupakan yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negara.

Sementara itu Anwar turut mengingatkan penjawat awam supaya tidak terikut-ikut dengan tindakan pembangkang berhubung isu penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Katanya pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan terhadapnya termasuk menggelarnya sebagai ‘anak angkat’ Amerika Syarikat (AS) dan mengikut nasihat Yahudi.

“Rakan-rakan penjawat awam harus ikuti (isu ini), bukan ceramah politik maki hamun orang, dajalkan orang, kafirkan orang (seperti) yang mereka lakukan di (Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri) Sungai Bakap, saya dipanggil anak angkat AS, Kementerian Kewangan pinjam daripada IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan dikatanya saya ikut nasihat Yahudi.

Sewaktu sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam, Anwar berkata Global Infrastructure Partners (GIP) dipilih berikutan persetujuan syarikat itu untuk mengekalkan pelantikan warganegara Malaysia sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif MAHB serta pemilikan kolektif saham majoriti milik negara.

Beliau berkata selain GIP, pihak lain tidak bersetuju dengan syarat ditetapkan Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Khazanah dan KWSP menetapkan syarat ketat yang akan menyaksikan pemilikan kolektif Malaysia dalam MAHB meningkat kepada 70 peratus berbanding 41 peratus pada masa ini sebaik sahaja penstrukturan pengendali lapangan terbang itu selesai.

– BERNAMA


Pengarang :