BUDAYARENCANA

Polaroid

Oleh Zulaikha Adam

 

Tidak ada yang percuma di kota ini. Segalanya mahal. Mahal. Mahal! Segalanya memerlukan wang sehingga wang berubah raja memakai mahkota. Wang berubah minuman keras yang memabukkan. Wang adalah permaidani merah yang menjadi alas kaki diktator. Tanpa wang, mata akan kabur, kepala akan retak, tubuh akan berdarah.

Embun mengeluarkan keping-keping polaroid. Sekaki meja sudah dipasang. Ada alas meja kotak-kotak berwarna khaki. Ada sepasu hiasan bunga kering dan beberapa mentol genit  memeriahkan tempat jualannya di sisi jalan. Embun penjual polaroid. Hampir tiap-tiap malam, dia berhijrah dari satu jalan ke satu jalan – buat menjaja polaroid.

“Berikan saya lima keping polaroid.” Pinta seorang gadis muda sewaktu Embun masih sibuk menyusun atur meja jualan.

“Oh, ya! Silakan. Pilih yang mana saudari berkenan.” Ramah sekali Embun melayan pelanggan.

“Saya mahu gambar-gambar pemandangan. Ya, yang ini! Saya suka benar pemandangan laut dan gunung-ganang!” Gadis muda tadi pun membeli lima keping polaroid yang semuanya tentang keindahan alam semula jadi.

Embun tersenyum. Laku juga gambar-gambar yang ditangkapnya sendiri dengan menjelajah ke banyak tempat. Ditelusurinya sungai dan didakinya gunung-ganang buat memotret wajah keindahan milik Esa. Rasanya puas sekali, seolah-olah berkarya dengan sepenuh jiwa. Jiwanya bebas – meski pendapatannya cukup-cukup makan.

Tidak lama kemudian, datang pula seorang lelaki tua yang tampak kaya namun sunyi sekali wajahnya. Lelaki tua itu membelek-belek polaroid di meja jualan. Agak lama dia membelek-belek kesemua polaroid tanpa berkata-kata walau sepatah pun. Ada beberapa polaroid dengan wajah manusia. Ditenung lama-lama oleh lelaki tua itu. Embun pun sepi tidak menyapa.

“Nak… kamu ada jual wajah manusia kembar atau tidak? saya mahu beli.”

Embun tergamam sebentar. Memang tidak ada dijual wajah manusia kembar. Dia lebih suka menjual gambar-gambar alam semula jadi. Embun menjawab, “Oh, maaflah tuan. Saya tidak ada jual wajah manusia kembar.”

Berubah wajah lelaki tua itu. Sugul sekali dengan air mata tergenang di kedua-dua belah kelopak mata. Embun dihumban rasa kesal.

“Boleh saya tahu, tuan mahu membeli wajah manusia yang bagaimana? Saya boleh cuba usahakan!”

Lelaki tua itu memandang mata Embun dalam-dalam.

“Wajah… anak kembar saya. Mereka sudah meninggal dunia semasa kecil. Bolehkah kamu mencari wajah kembar yang seiras dengan mereka? Saya mahu menyimpan polaroid wajah mereka.” Lelaki tua itu pun mengeluarkan sekeping foto lama hitam putih kepada Embun. Diamati Embun lama sekali.

“Mustahil saya mahu cari kembar seiras dengan anak tuan.” Embun berterus-terang.

“Kamu carilah sampai jumpa dan jika kamu berjaya, saya akan berikan sebuah rumah milik saya di hujung pekan ini buat kamu duduki secara percuma. Seberapa lama yang kamu mahu!”

Terus terbayang wajah emak dan adik-adik kecilnya yang selama ini hidup melarat. Entah berapa kali dihalau keluar kerana tidak mampu membayar sewa rumah. Lekas sekali Embun setuju. Lantas, dia pun berjalan dari satu pekan ke satu pekan, dari satu kota ke satu kota dengan penat lelah demi sekeping wajah manusia kembar. Akhirnya, dia berhasil mendapatkan apa yang dimahukan lelaki tua yang kaya raya.

Sejak itu, Embun sudah berjaya menyediakan rumah yang layak buat emak dan adik-adiknya. Namun, dia tetap menjaja polaroid. Wang perlu ada untuk makan. Wang perlu ada untuk pelajaran. Wang perlu ada untuk perjalanan. Sehinggalah suatu hari yang kelam, Embun didatangi pula oleh seorang lelaki muda. Juga tampak kaya dengan sut kelabu dan kaca mata hitam.

“Ya, ada apa tuan? Boleh saya bantu?”

Lelaki itu begitu lama membelek-belek setiap keping polaroid di meja jualan Embun.

“Antara banyak-banyak polaroid, yang mana paling mahal harganya?” tanya lelaki muda itu.

Embun terus menjawab, “Tiada yang paling mahal, semuanya saya jual dengan harga yang sama.”

“Tetapi, saya mahu yang paling mahal!” Lelaki muda tiba-tiba berubah bengis, ibarat memerintah Embun menurut kemahuannya.

“Tetapi, harga polaroid saya sama saja semuanya. Tiada yang paling murah, tiada yang paling mahal.” Embun masih bertegas mempertahankan barang jualannya.

Lelaki muda itu pun terjeda sebentar. Dilirihnya tubuh Embun dari atas ke bawah sehingga Embun jadi silu.

“Kalau begitu, saya mahu kamu rakam diri sendiri menjadi keping-keping polaroid dan menjualnya dengan harga paling mahal kepada saya!” Pinta lelaki muda itu dengan tegas sekali.

Terkedu Embun dengan permintaan itu. Jadi pendek lidahnya. Jadi gelap fikirannya.

“Mustahil, tuan. Jika saya merakam diri sendiri dan menjadikannya sebagai polaroid, itu sama seperti saya menjual diri saya kepada tuan. Tidak, saya tidak mahu!”

“Jangan bimbang. Saya akan tawarkan kepada kamu segala kemewahan yang saya ada. Kereta besar. Barang-barang mewah. Ladang sayur dan ladang buah. Saya ada segala-galanya.”

Sekali lagi, wajah emak dan adik-adik yang sering dalam ketidakcukupan mengalir laju dalam sungai ingatan Embun. Mustahil dia tidak mahu melihat mereka senang dan bahagia. Dengan alasan itulah, dia bersetuju menerima tawaran lelaki muda itu. Seberapa lama kemudian, lelaki muda itu menghilangkan diri. Sementara wajah dan tubuh badan Embun pada keping-keping polaroid disalahguna dan terpampang dengan sangat mengghairahkan pada kaver majalah lucah dan menjadi model papan tanda kelab judi dan maksiat. Maruah seorang penjaja polaroid tersiat hebat. Kerana hidup di kota terlalu mahal, nasibnya berubah begitu murah.

 

 

 


Pengarang :