Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Polis belum dapat kenal pasti motif kes simbah asid Faisal Halim

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Polis masih belum dapat mengenal pasti motif kejadian simbah asid melibatkan tonggak utama Selangor FC dan Harimau Malaya Muhammad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya bulan lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata siasatan kes berkenaan giat dijalankan dan tidak akan berhenti sehingga pelaku dapat diberkas.

Beliau berkata polis kini sedang memperluaskan skop siasatan dan telah memasuki fasa kedua.

“Cap jari dan foto-fit suspek tidak banyak membantu siasatan. Polis juga menghadapi kekangan berikutan tiada saksi awam menyaksikan kejadian berkenaan.

“Setakat ini polis hanya dapat kenal pasti corak serangan tetapi masih belum dapat establish motive serangan ini dan beberapa kejadian membabitkan pemain bola sepak yang lain,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah mengambil keterangan beberapa individu di pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan akan mengadakan perjumpaan dengan Faisal Halim dalam masa terdekat.

Mengenai kenyataan Faisal Halim yang memberitahu kali terakhir beliau dihubungi polis adalah pada minggu pertama kejadian, Mohd Shuhaily berkata pihaknya akan menghubungi Polis Selangor untuk mendapatkan maklumat mengenai perkara itu.

Pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim bercakap kepada media ketika sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Semalam, Faisal Halim membuat penampilan kali pertama di hadapan khalayak umum kerana enggan berselindung dan ingin menjalani kehidupan normal seperti manusia biasa.

Pada 5 Mei lepas, Faisal Halim, 26, mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

Seterusnya pada 25 Mei, Selangor FC menerusi kenyataan mengesahkan pemain sayapnya itu dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di sini selepas menjalani empat pembedahan susulan insiden berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :