Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Polis Selangor anjur larian maraton, semai nilai murni, etika warganya

KAJANG, 26 JUN: Buat julung kalinya polis Selangor akan menganjurkan Selangor Police Integrity Half Marathon di Stadium Sultan Suleiman, Klang, Selangor pada 14 Julai ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata acara itu adalah satu inisiatif strategik bagi menyemai nilai murni seperti kejujuran, ketelusan dan etika dalam kalangan anggota polis serta masyarakat.

Beliau berkata acara dengan slogan ‘Berlari Dengan Integriti’ itu akan melibatkan beberapa kategori seperti perlumbaan sejauh 5 kilometer (km) terbuka, 10km terbuka dan 21km, dengan hadiah wang tunai yang ditawarkan kepada pemenang berjumlah RM16,800.

“Visi program ini adalah untuk menanam rasa tanggungjawab dan etika dalam kalangan warga polis Selangor sambil memupuk hubungan positif dengan masyarakat,” katanya ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kajang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, di sini hari ini.

Majlis hari ini menyaksikan ACP Naazron Abdul Yusof dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kajang yang baharu menggantikan SAC Mohd Zaid Hassan.

Mohd Zaid kini menjawat jawatan Ketua Jabatan Pengurusan Selangor manakala Naazron sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi.

– BERNAMA


Pengarang :