Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni penduduk Kampung Sungai Duri, Sungai Bakap, Nibong Tebal dalam sesi ziarah kasih pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada 30 Jun 2024. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRK Sungai Bakap: Amirudin ketuai jentera, kempen di dua tempat

NIBONG TEBAL, 30 JUN: Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari mengetuai 300 anggota jentera dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap hari ini.

Menurut Amirudin kempen tertumpu di dua pusat daerah mengundi (PDM) iaitu Sungai Duri dan Simpang Ampat melibatkan jentera dari Angkatan Muda Keadilan (AMK), wanita KEADILAN selain ketua cabang.

“Fokus kempen bagi memastikan seramai mungkin pengundi HARAPAN dan Barisan Nasional (BN) untuk membuang undi pada 6 Julai ini.

“Saya mengetuai jentera menyantuni ketua kampung dan bekas ahli majlis di dua PDM ini yang mempunyai ramai pengaruh untuk mengundi calon kerajaan perpaduan,” katanya.

Ditemui selepas sesi ziarah kasih penduduk Kampung Sungai Duri, Sungai Bakap, di sini, Amirudin berkata jenteranya juga menumpukan kempen melalui media sosial untuk menyalurkan maklumat kepada pengundi.

“Maklum balas setakat ini dari pengundi di dua PDM ada anjakan positif namun saya percaya penentunya di hari mengundi nanti.

“Kita kemukakan gerak kerja, tawaran dan pencapaian Kerajaan Negeri kepada pengundi untuk penilaian sebelum mereka memilih wakil rakyat mereka,” katanya.

PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon HARAPAN dan Perikatan Nasional (PN).

HARAPAN mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat KEADILAN itu.

Manakala PN pula diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 2 Julai ini manakala hari mengundi 6 Julai.

 

 

 


Pengarang :