Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli berucap pada majlis pengumuman calon PRN parti itu di padang awam MBSA, Seksyen 7, Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRK Sungai Bakap: Calon Perpaduan diumum Rabu ini

NIBONG TEBAL, 9 JUN: Calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan diumumkan pada 12 Jun ini (Rabu).

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli berkata sebelum itu, calon yang dipilih oleh PKR itu akan dikemukakan pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Perpaduan Pusat pada petang Selasa.

“Senarai calon telah dihantar kepada Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jabatan Pilihan Raya. Calon telah disaring oleh Majlis Kepimpinan Negeri Pulau Pinang.

“Kita akan kemukakan nama yang dipilih sebagai calon itu mengikut proses semasa Mesyuarat Majlis Kerajaan Perpaduan pada Selasa. Itulah prosesnya walaupun KEADILAN yang bertanding, tetapi rakan sekutu akan meluluskan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jentera Perpaduan PRK Sungai Bakap di sini malam ini.

Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR pusat berkata PRK Sungai Bakap bukan medan pilihan raya yang mudah bagi gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN), namun mempunyai peluang untuk merampas kembali kerusi yang beliau sifatkan sebagai “pinjaman” kepada Perikatan Nasional (PN).

“Kita terima hakikat yang kita turun ke gelanggang PRK ini sebagai underdog, namun kita yakin dapat kembalikan semula kerusi Sungai Bakap yang dipinjamkan sekejap kepada PN,” katanya.

Beliau juga mengingatkan jentera gabungan HARAPAN agar kempen pada PRK Sungai Bakap harus berbeza, dengan ceramahnya perlu menyentuh isu rakyat Palestin dan mempunyai tayangan video kesengsaraan rakyat.

Selain itu, Menteri Ekonomi itu turut meminta semua jentera parti agar memasuki gelanggang PRK dengan berhemah dan menjawab segala tuduhan serta tohmahan yang dilemparkan pihak pembangkang dengan cara yang baik.

Beliau yang menyifatkan calon yang akan dipilih kelak sebagai pengantin, diingatkan supaya sentiasa senyum dan bersalaman dengan pengundi, sebaliknya jentera atau pemimpin parti yang akan berlawan dalam ceramah menjawab segala tuduhan pembangkang.

Turut hadir Pengerusi HARAPAN Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap bakal diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon KEADILAN Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

– BERNAMA


Pengarang :