Ribuan pengunjung hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari terakhir Program Setahun Bersama Kerajaan Madani pada 10 Disember 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Program Madani Zon Timur berlangsung tiga hari mulai 5 Julai

PUTRAJAYA, 24 JUN: Program Madani Rakyat 2024 bagi Zon Timur merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan akan diadakan di Dataran Sayangi Kuantan, Pahang, selama tiga hari bermula 5 Julai ini.

Program Madani Rakyat dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan kerajaan Pahang.

Sekretariat Program Madani Rakyat dalam kenyataan hari memaklumkan program tersebut merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember tahun lepas.

“Program ini diteruskan ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat,” menurut kenyataan itu.

Sekretariat program itu memaklumkan Program Madani Rakyat Zon Timur memberi tumpuan kepada aktiviti berkaitan kesejahteraan rakyat, agenda perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan karnival kerjaya, pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan, kesejahteraan luar bandar serta pameran dan perkhidmatan berhubung pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan kecerdasan buatan (AI).

Turut diberi tumpuan ialah pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berkaitan.

Selain itu, Jualan Madani yang menawarkan potongan harga dan tawaran istimewa serta pameran aset-aset kerajaan turut disediakan untuk pengunjung.

Menurut kenyataan itu program berkenaan turut melibatkan kolaborasi strategik syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan pihak swasta.

Program Madani Rakyat merupakan wadah untuk masyarakat mendapatkan perkhidmatan secara langsung daripada kementerian dan agensi di peringkat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,di samping memberi peluang kepada masyarakat umum mengemukakan pandangan dan cadangan penambahbaikan mutu perkhidmatan kerajaan.

Program seperti ini juga dapat mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuhkan hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras dengan agenda Malaysia Madani.

Majlis perasmian Program Madani Rakyat Zon Timur bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Julai dengan dihadiri pemimpin tertinggi kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Orang ramai dijemput untuk bersama-sama memeriahkan Program Madani Rakyat Zon Timur pada 5 hingga 7 Julai ini bermula 9 pagi hingga 10 malam,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA


Pengarang :