AGENDANASIONAL

Promosi antara faktor pengaruhi kanak-kanak, remaja jadi perokok kekal

PUTRAJAYA, 1 JUN: Promosi berleluasa dan tanpa kawalan di media sosial serta ekspo dan pameran produk merokok antara faktor yang mempengaruhi pengguna terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja menjadi perokok kekal sepanjang hayat.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan faktor lain termasuk bentuk produk merokok yang menarik seperti permainan dan perisa pelbagai.

Menurut kenyataan itu KKM memandang serius dan komited membendung masalah itu menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] yang telah diwartakan pada 2 Februari lalu sebagai satu bentuk kawalan menyeluruh terhadap semua jenis produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape.

Menurut KKM di bawah Akta 852 itu, pihaknya akan memperketatkan larangan penjualan, pembelian dan penggunaan semua jenis produk merokok kepada orang belum dewasa (OBD) yang berumur kurang 18 tahun.

“KKM juga akan terus menjalankan program advokasi pencegahan merokok bersama pelbagai kementerian, agensi, badan bukan kerajaan dan badan profesional. Menjadi hasrat dan impian KKM untuk merealisasikan matlamat negara bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok pada 2040,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau yang diraikan di seluruh dunia pada 31 Mei setiap tahun.

KKM juga memaklumkan merokok produk tembakau antara faktor utama yang menyebabkan komplikasi penyakit kronik tidak berjangkit seperti penyakit jantung koronari, kanser dan paru-paru kronik.

Menurut kenyataan itu tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan peratusan remaja dalam lingkungan umur 13 hingga 17 tahun yang merokok rokok konvensional menurun daripada 13.8 peratus pada 2017 kepada 6.2 peratus pada 2022.

Tema sambutan Hari Tanpa Tembakau tahun ini iaitu “Lindungi Kanak-Kanak Daripada Pengaruh Industri Tembakau” bertujuan menyeru semua individu dan lapisan masyarakat untuk membanteras pengaruh industri tembakau terhadap kanak-kanak.

Tema itu selari dengan objektif peruntukan yang digariskan di bawah Artikel 5.3 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC) iaitu “melindungi daripada percubaan industri tembakau untuk mengugat dan melemahkan undang-undang kawalan tembakau yang berkesan dan menyelamatkan nyawa”, dengan Malaysia telah menjadi anggota parti sejak 2005.

– BERNAMA


Pengarang :