Pemandangan Masjidil Haram pada musim haji 1445H/2024 dirakam dari Menara Jam Diraja Mekah atau nama popular “Menara Abraj Al-Bait” pada 12 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Protokal kesihatan Arab Saudi berkesan urus, kurangkan kesan tekanan haba

RIYADH, 24 JUN: Menteri Kesihatan Arab Saudi, Fahd Al-Jalajel mengumumkan kejayaan pelaksanaan usaha pengurusan kesihatan pada musim haji 2024.

Pencapaian ini dicapai menerusi usaha bersepadu sistem kesihatan dan pasukan keselamatan haji, tanpa merekodkan penularan wabak atau penyakit meluas, lapor Saudi Press Agency (SPA).

Sistem kesihatan itu menyediakan lebih 465,000 perkhidmatan rawatan khusus, termasuk 141,000 perkhidmatan kepada mereka yang tidak mendapat kebenaran rasmi untuk menunaikan haji.

Dalam satu temu bual media, Al-Jalajel menyatakan jaminan mengenai keadaan kesihatan keseluruhan jemaah haji walaupun suhu tinggi dialami di Tanah Suci.

Beliau menekankan kesan positif tindak balas pantas pihak berkuasa kesihatan dan sokongan berkesan pasukan keselamatan haji dalam mengurus dan mengurangkan kesan tekanan haba.

Sistem kesihatan menangani banyak kes tekanan haba tahun ini, dengan beberapa individu masih dalam jagaan. Jumlah kematian mencecah 1,301 orang dengan 83 peratus tidak dibenarkan menunaikan haji dan berjalan jauh di bawah cahaya matahari langsung tanpa perlindungan atau keselesaan yang mencukupi. Antara yang meninggal dunia ialah beberapa warga emas dan individu yang mempunyai penyakit kronik.

Al-Jalajel menekankan usaha penting yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya tekanan haba dan kepentingan langkah pencegahan. Beliau turut mengucapkan takziah dan berkata: “Semoga Allah mengampuni dan merahmati mereka yang telah meninggal dunia. Takziah kami kepada keluarga mereka. Semoga Allah menerima amalan mereka dan memberi ganjaran atas penderitaan mereka.”

“Semua laporan telah disusun, keluarga si mati dimaklumkan dan pengenalan diri lengkap, walaupun pada awalnya kekurangan maklumat peribadi atau dokumen pengenalan diri. Proses yang betul telah diikuti untuk pengecaman, pengebumian dan menghormati si mati, dengan sijil kematian disediakan.”

Al-Jalajel juga memperincikan bahawa penyediaan perkhidmatan kesihatan percuma oleh Arab Saudi kepada jemaah haji bermula sebelum ketibaan mereka, dengan program kesedaran di lintasan sempadan udara, laut dan darat.

Kira-kira 1.3 juta perkhidmatan pencegahan telah diberikan, termasuk pengesanan awal, vaksinasi, dan rawatan perubatan semasa ketibaan.

Perkhidmatan penjagaan kesihatan yang ditawarkan termasuk pembedahan jantung terbuka, kateterisasi jantung, dialisis dan rawatan kecemasan dengan lebih 30,000 perkhidmatan ambulans termasuk 95 operasi ambulans udara yang memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan canggih di bandar-bandar perubatan di seluruh negara itu.

Selain itu, sistem penjagaan kesihatan menyediakan hampir 6,500 katil dan bilik. Langkah-langkah untuk memerangi tekanan haba termasuk pembangunan peranti yang membolehkan menyelamat individu yang terjejas dengan cepat dan berkesan.

— BERNAMA-SPA


Pengarang :