Penyair dan pelakon, Allahyarham Mohd Supyan Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Pyanhabib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lembah Keramat, AU4, Kuala Lumpur pada 5 Jun 2024 jam 11.30 pagi. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Pyanhabib tiada galang ganti, seniman disayangi ramai

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Persada seni tanah air kehilangan satu lagi permata berharga yang tiada galang gantinya selepas penyair dan pelakon Mohd Supyan Abdul Rahman atau Pyanhabib, 66, menghembuskan nafas terakhirnya malam tadi.

Menurut penyanyi dan pencipta lagu M. Nasir, Pyanhabib merupakan seniman yang unik, istimewa dan pemergian individu yang digambarkan sebagai seorang setia kawan itu merupakan kehilangan besar buat industri seni negara.

“Tiada orang lagi macam dia … sajak terkenalnya bertajuk ‘Suara’, itulah mencerminkan sikapnya sehingga hari ini,” katanya.​​​​​​

M Nasir berkata beliau terkilan kerana hasrat untuk melibatkan Pyanhabib dalam konsertnya ‘Dato’ M. N45ir’ yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan, tidak kesampaian.

Sahabat karib yang juga pelakon, pelawak dan kartunis Imuda pula menyifatkan arwah seorang baik hati dan suka mengambil berat dan seniman yang disayangi ramai.

“Saya dengan dia sangat rapat macam abang dan adik, kami kenal dari awal kerjaya lagi. Terkejut dengar berita sebab saya lama tak jumpa dia… masing-masing kurang sihat.

“Banyak kenangan manis susah senang bersama. Di awal kerjaya dulu kami pernah kongsi makan roti canai di Central Market (Pasar Seni) dan sama-sama mengasah bakat menjadi pemain teater yang baik, malah waktu kahwin pun saya jadi pengapit. Saya kahwin dia jadi pengapit, begitulah akrabnya kami,” katanya.

Imuda yang pernah membintangi dua filem bersama arwah turut berkongsi memori kali terakhir berjumpa seniman awal tahun ini dengan menonton semula filem Mat Som lakonan mereka, juga dianggapnya sebagai memori yang akan dikenang sepanjang hayat.

Vokalis kumpulan legenda Blues Gang, Ito Mohd turut berkongsi kesedihan atas pemergian Pyanhabib yang dianggapnya sebagai seorang seniman berbakat besar dan istimewa.

“Arwah sepatutnya bersama dengan kami lusa untuk acara Kopi, Lagu dan Puisi di Bukit Malawati, Kuala Selangor, tapi dia telah pergi dulu,” katanya yang kali terakhir berbual dengan arwah sebelum Syawal lepas.

Turut terkesan Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said yang berasa kehilangan sahabat sejak awal pembabitan dalam dunia kesasteraan.

“Saya harap dia dikenang selalu. Memang ada acara sastera berlanjutan jadi saya harap sangat dalam acara sedemikian dia akan diingati,” katanya yang juga menghargai sumbangan dalam bidang berkenaan.

Pyanhabib meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang malam tadi akibat sakit tua dan meninggalkan isteri Zurina Zakaria, 58, serta dua anak Najihah, 31, dan Ahmad Ashman Farabi, 28.

Jenazah Allahyarham Pyanhabib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lembah Keramat, AU4, Kuala Lumpur pada 11.30 pagi tadi.

– BERNAMA


Pengarang :